..::beRsaMaKu::..

Sunday, January 9, 2011

maksud pendidikan oleh beberapa org sarjana islam & barat


Pendidikan merupakan salah satu aspek yang terpenting dalam sesebuah Negara.  Pendidikan dilihat mampu mengubah negara kepada tahap yang lebih baik dari segi peni ngkatan ekonomi, budaya, politik, sosial, dan sebagainya.  Dengan pendidikan kehidupan manusia boleh berubah dalam sekelip mata.  Pendidikan juga merupakan asas penting kepada setiap individu.  Pelbagai usaha yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam sesebuah Negara  bagi memastikan semua rakyatnya menerima pendidikan. 

Justeru itu, apakah yang dimaksudkan dengan pendidikan?  Perkataan pendidikan mempunyai tafsiran yang pelbagai dan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman, tujuan dan tugasnya.  Di sini akan dihuraikan beberapa maksud pendidikan yang telah dikemukakan oleh beberapa ahli falsafah dan tokoh ilmuan dari Barat  pandangan Barat dan Islam

Swift D.F di dalam bukunya “ Sociology of Education” menghuraikan pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh beberapa orang sarjana  dan Ilmuan dari Barat berkenaan dengan pendidikan.  Antaranya ialah, Plato berpendapat, pendidikan ialah suatu proses untuk membentuk individu yang berakhlak mulia.  Beliau menyokong pendapat Socrates bahawa tujuan pendidikan ialah member latihan moral kewarganaegaraan yang baik.  Menurut Aristotle pula, pendidikan ialah ilmu yang bersifat etikal dan politikal.  Mengikut beliau, tujuan pendidikan ialah memberikan setiap warganegara peluang untuk mencapai kebahagiaan hidup.

John McDonald menghuraikan perbezaan pendidikan diantara masyarakat primitif dengan masyarakat moden.  Pengertian pendidikan dalam masyarakat primitif ialah latihan vokasional dan pelajaran adat resam, kepercayaan serta cara sembahyang, dismapaikan melalui tunjuk ajar dengan secara tidak langsung daripada keluarga dan pergaulan dengan orang dewasa.  Manakala pengertian pendidikan bagi masyarakat moden pula merupakan latihan khusus  menguasai kemahiran dan memperolehi ilmu pengetahuan yang penting untuk kehidupan disampaikan melalui pengajaran secara langsung daripada guru yang berilmu tinggi serta mempunyai kemahiran mengajar.

John Dewey pula mengatakan bahawa pendidikan adalah satu proses perkembangan individu.  Mengikut beliau, pendidikan merupakan usaha mengatur ilmu pengetahuan untuk menambahkan lagi pengetahuan semula jadi yang ada padanya, supaya dapat hidup dengan lebih berguna dan lebih selamat lagi.

Atan Long pula di dalam bukunya bertajuk “Psikologi Pendidikan” memuatkan di dalamnya beberapa pandangan mengenai pendidikan yang telah dikemukakan oleh beberapa sarjana dan ilmuan Islam. Antaranya ialah; Syed Muhammad Qutb menyatakan bahawa pendidikan adalah proses membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang.  Menurut beliau, tujuan utama pendidikan ialah untuk memperkembangkan potensi intelek, fizikal, emosi dan rohani manusia kea rah tahao kesempurnaan.

Amar al-Shaibani berpendapat pendidikan adalah digunakan untuk melatih manusia membuat persiapan bagi kehidupan dunia dan akhirat.  Menurut al-Ghazali pula, proses pendidikan hendaklah merangkumi aspek intelek latihan jasmani serta pembinaan akhlak yang mulia, berani dan hormat -  menghormati.

Firman Allah di dalam Surah Al-Alaq ayat 1 yang bermaksud : “Bacalah!!! Dengan Nama Tuhanmu yang menjadikan”, jelas menunjukkan betapa peri pentingnya pendidikan kepada setiap umat manusia dengan tidak mengira jantina, agama, budaya, umur, keturunan dan sebagainya  Begitu juga dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : “Menuntut ilmu itu wajib bagi bagi setiap lelaki dan perempuan”, jelas memberitahu kepada kita bahawa setiap orang tidak kira lelaki atau perempuan dikehendaki menuntut ilmu atau dalam erti kata lainnya mempunyai pendidikan.

Sharifah Alwiyah Alsagoff menghuraikan di dalam bukunya “Falsafah Pendidikan”  pengertian pendidikan sebagai satu proses atau aktiviti yang berikut:-
·         Pendidikan sebagai proses persekolahan formal.
·         Pendidikan sebagai proses latihan.
·         Pendidikan sebagai proses perkembangan fizikal, intelek, social dan emosi seseorang individu.
·         Pendidikan sebagai proses indoktrinasi dengan tujuan agar pelajar akan mempercayai apa yang disampaikan.
·         Pendidikan sebagai proses yang berterusan  untuk kemajuan individu seumur hidup.
·         Pendidikan sebagai aktiviti yang bersepadu untuk mencapai matlamat seperti memperolehi kemahiran pengetahuan dan sikap dengan secara integrasi.
·         Pendidikan sebagai satu disiplin, seni dan sains.

Mok Soon Sang di dalam bukunya “Pendidikan di Malaysia” merumuskan bahawa pendidikan ialah suatu proses atau aktiviti yang berusaha untuk  memperkembangkan fizikal, intelek, social dan emosi seseorang individu serta menambahkan kemahiran, kebolehan, pengetahuan dan pengalaman supaya dapat member kegembiraan, faedah dan kemajuan dalam kehidupannya, membantu dan mendorongnya bertindak dengan cara yang lebih sihat bagi faedah diri sendiri serta masyarakat, bangsa dan negaranya.

Menurut Anuar Ahmad (UKM), sesetengah orang  tidak dapat membezakan antara pendidikan asas dan pendidikan menengah.   Pendidikan asas adalah satu konsep yang besar dan luas.  Tanpa mengira usia atau ruang, pendidikan asas boleh sahaja bermula sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah, universiti atau usia tua.  Pendidikan asas yang dimaksudkan ialah satu komponen ilmu yang diberikan kepada individu meliputi asas-asas kehidupan sama ada sebagai seorang individu manusia atau sebagai ahli dalam sesebuah Negara.  Seringkali pendidikan asas dikaitkan dengan akronim 3M (membaca, menulis dan mengira).  Sebenarnya pendidikan asas juga meliputi soal pendidikan kesihatan dan penjagaan diri, kemahiran komunikasi dan berinteraksi serta berkaitan dengan pembangunan moral dan agama.

Kesimpulannya, pendidikan berupaya mengubah corak kehidupan seseorang ahli dalam sesebuah Negara.  Melalui pendidikan juga dapat membentuk masyarakat yang berakhlak tinggi, berpengetahuan luas, bijaksana dalam membuat keputusan, dan tegas dalam mengendalikan emosi seterusnya dapat memacu kegemilangan dan kecemerlangan sesebuah Negara.

Rujukan
Atan Long (1976-1978), Psikologi Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
Mok Soon Sang (1991), Pendidikan Di Malaysia, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd, Kuala Lumpur
Sharifah Al-sagoff (1985), Sosiologi Pendidikan, Heinmann(Malaysia) Sdn.Bhd. Petaling Jaya
Swift, D.F (1969-1973), The Sociology of Education, Routledge & Keagan Paul, London
Portal Pendidikan Utusan, www.tutor.com.my

9 comments:

  1. MOHON KONGSI BAHAN.....T.KASIH KERANA BANYAK MEMBANTU

    ReplyDelete
    Replies
    1. nak share jgk ye..minta izin , tqvmuch..

      Delete
  2. mohon untuk sumber rujukan

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam ramadhan...i already read ur blog 4 my assignment...need ur permission ...tq . hope ALLAH bless u..ameen...

      Delete
  3. mohon untuk bahan buat assignment ye..tqsm!

    ReplyDelete
  4. mohon copy...tq so much :)

    ReplyDelete